I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, May 22, 2009

Adakah Dunia Lebih Aman Tanpa Babi??


Cuba bayangkan situasi ini. Seorang pelajar mengambil senaskhah surat khabar di atas meja, sementara menunggu pensyarah memulakan pengajaran. Kemudian, di lihat olehnya, pada muka hadapan akhbar tersebut. Gambar sekumpulan khinzir, bersama seorang budak kecil lelaki. Gambar tersebut bertempat di sebuah ladang, di Kaherah, selepas kerajaan Mesir memberi arahan untuk membunuh beribu-ribu ekor khinzir, ekoran daripada penyakit selsema babi yang kini sedang melanda dunia. Terkeluar ayat dari mulut pelajar tersebut, "eiyy.. Geli nya." Segera surat khabar itu di lepaskan daripada pegangan. Si kawan melihat akhbar tersebut, sambil berkata di dalam hati, "oo, babi ke? Tak pasal-pasal je makhluk ni kena bunuh."

Figure 1 : Keratan akhbar The Dominion Post, bertarikh 1 Mei 2009, Jumaat. Sumber: REUTERS.

Penularan penyakit ini telah menyebabkan haiwan yang dikelaskan sebagai mamalia ini, dituduh sebagai punca utama. Lantas penghapusan terhadapnya dilakukan oleh beberapa negara seperti Mesir dan Iraq. Namun, World Health Organization (WHO) , dalam kenyataan yang bertarikh 1 Mei 2009, telah menyatakan bahawa pada peringkat ini, tiada lagi perpindahan jangkitan berlaku antara khinzir dan manusia. Kenyataan ini sedikit sebanyak dapat menyelamatkan beribu-ribu ekor lagi khinzir yang mendiami bumi ini daripada terus dibunuh.

Adakah dunia akan aman tanpa khinzir? Sebelum kita melangkah lebih jauh, baik kita selidiki bagaimana soalan ini boleh timbul. Adakah kerana baru-baru ini dunia dikejutkan dengan penyebaran influenza A (H1N1)? Sekali lagi ingin dibawa maklumat daripada WHO bahawa, pada waktu ini, tiada jangkitan virus yang berlaku daripada khinzir kepada manusia. Malah, dilaporkan di Kanada, manusia sendiri yang telah membawa virus ini kepada ternakan khinzir. Jadi, apa yang boleh disimpulkan untuk tempoh masa ini ialah penyebaran wabak ini datangnya daripada manusia, kepada manusia. Maka, perlukah kita menuding jari kepada haiwan ini sahaja, seolah-olah mereka lah punca utama pembawakan virus ini?

Kerajaan Mesir dan Iraq telah mengambil langkah mudah dengan menghapuskan sebilangan haiwan ini supaya wabak tersebut tidak akan singgah di negara mereka. Akhirnya tindakan ini dipersoalkan oleh WHO.

Jika begitu, apakah lagi? Mengapakah perlunya dikaitkan ‘keamanan dunia' dan ‘khinzir'? Sedangkan sebelum ini, peperangan banyak terjadi antara manusia, dan ianya berlaku di atas muka bumi ini. Adakah dengan meletusnya peperangan, dunia menjadi aman? Tentu tidak! Penindasan dan penghapusan terhadap sekelompok kaum natif atau etnik di sesebuah kawasan, adakah itu namanya keamanan? Apakah namanya keamanan jika ada yang menderita dan terseksa di saat si penguasa bermaharajalela? Jika mahu dikaitkan dengan keamanan dunia sejagat, banyak lagi perkara yang perlu difikirkan, bukan hanya melibatkan sekumpulan haiwan yang kebiasaannya selsema babi ini bermula daripada mereka.

Penciptaan dan kejadian khinzir sebagai makhluk Tuhan di atas bumi ini bukanlah sesuatu yang sia-sia. Hal ini adalah kerana semua ciptaan-Nya ada kelebihan dan kegunaannya yang tersendiri. Kita sebagai manusia, sememangnya perlu sedar akan apa tanggungjawab kita di atas muka bumi ini. Kita diperintahkan oleh Pencipta kita Yang Maha Satu, untuk mentadbir dan menjaga alam sebaik yang mungkin. Manusia sebagai makhluk yang dikurniakan dengan akal yang sempurna, perlu menggunakan nikmat tersebut dengan sebaik yang mungkin.

Mata digunakan untuk melihat dan otak akan mentafsir setiap inci penglihatan kita. Telinga digunakan untuk mendengar. Tangan, kaki dan setiap anggota badan manusia, punyai kegunaannya yang tersendiri dan perlu untuk dikawal penggunaannya oleh individu tersebut. Mengapa? Kerana dari tangan dan kaki manusia lah alam ciptaan Tuhan kini berada di ambang bahaya. Pencemaran alam dek tangan yang tidak berusaha untuk memeliharanya dengan baik. Penipisan ozon, di mana punca utamanya ialah pembebasan kloroflorokarbon (CFC) sehingga terbentuknya ‘lubang ozon' di Antartika sekitar tahun 1985[7]. Tidak ketinggalan juga, dengan adanya ilmu dan penggunaan teknologi yang tidak terkawal, manusia sendiri yang menanggung akibat, seperti penyakit selsema babi ini.

Dinyatakan di dalam surah Al-Imran, ayat 191.

(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, seraya berkata "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.


Melalui ayat ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang benar-benar memerhatikan apa yang ada di sekeliling mereka, mahupun apa yang ada pada mereka, akan mengakui kebesaran Penciptanya. Sekaligus, mereka akan menghargai dan berusaha untuk memelihara. Ungkapan "prevention is better than cure"

Dewasa ini permintaan terhadap penghasilan daging semakin meningkat iaitu selari dengan penambahan populasi penduduk dunia. Daging yang dimaksudkan tidak terhad kepada daging yang halal bagi umat Islam sahaja, bahkan semua daging yang menjadi sumber protein manusia. Antaranya termasuklah daging babi. China sebagai contoh, membelanjakan anggaran $52 million untuk pembinaan pusat pemprosesan daging babi yang dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 136,000 tan metrik. Di United Kingdom (UK), satu kajian telah dilakukan sebagai usaha untuk meningkatkan lagi mutu daging babi bagi tujuan pemakanan penduduk yang terlibat. Bukan itu sahaja, satu kempen pemasaran babi turut diadakan di UK pada September 2007, dengan tujuan menggalakkan orang ramai menjadikan daging babi sebagai bahan makanan.

Penggunaan teknologi di dalam penghasilan daging-daging ini bukan lagi sesuatu yang dagang. Amerika Syarikat misalnya, telah menggunakan kaedah teknologi pemindahan gene (gene transfer) ke dalam haiwan bagi meningkatkan penghasilan daging ke atas sekolompok haiwan. Terdahulu, kajian telah dijalankan ke atas seekor tikus untuk menguji keberkesanan pemindahan gene tersebut terhadap pertumbuhan otot tikus. Hasilnya yang positif dan memberangsangkan menyebabkan kajian dan pemindahan gene ini diteruskan kepada organisma yang lain.

Jika dilihat secara kasar, pasti ramai yang akan bersetuju dengan penggunaan teknologi ini. Kenapa tidak? Bukankah teknologi ini mampu menyediakan pasaran jualan daging yang luas kepada pengguna? Melalui teknik dan kaedah ini, haiwan yang dihasilkan akan membesar dengan masa yang singkat kerana pertumbuhan ototnya telah dirangsang dan ditambah pula dengan kehadiran gene baru, yang pasti akan meningkatkan lagi pertumbuhan ototnya. Jadi bolehlah pengguna membeli, memasak dan menjadikannya sebagai hidangan, tanpa perlu berfikir masalah kekurangan stok bekalan. Hal ini adalah kerana stok yang dikehendaki sentiasa mencukupi dan jarang sekali untuk sukar didapati. Lambakan haiwan yang telah mengalami ‘pembaharuan' gene dalam tubuh badan mereka menjadikan pengguna mewah untuk memberi makan kepada tubuh masing-masing.

Di New Zealand sebagai contoh. Isu perpindahan gene ini merupakan isu yang agak penting, memandangkan penduduk natif di negara tersebut, iaitu Maori, amat sayang kepada alam mereka. Hal ini adalah kerana bagi penduduk Maori, mereka dan alam tidak boleh dipisahkan dan diciptakan sebagai satu. Jadi, apabila berlakunya pemindahan gene dari satu organisma ke organisma yang lain, hal ini sedikit sebanyak akan mengkucar-kacirkan carta alir keturunan yang sudah tersedia terbentuk. Maka, apabila terhasilnya satu ‘organisma baru' (yang sebenarnya hanyalah pertukaran gene), hal ini akan menjejaskan seluruh keturunan bagi spesis tersebut. Tidak kira tumbuhan mahupun haiwan. Jadi, sebagai langkah untuk mengambil kira pandangan daripada kaum Maori ini, Kementerian Penyelidikan, Sains dan Teknologi negara tersebut, telah menubuhkan satu badan untuk mengambil kira pandangan dari penduduk Maori ini.

Menurut sebuah akhbar tempatan New Zealand yang bertarikh 1 Mei 2009, The Dominion Post, di bahagian ‘World', pada waktu ini, masa yang paling singkat untuk kitar hidup seekor ayam ialah 40 hari sahaja. Permintaan pasaran yang meningkat untuk memenuhi keperluan makanan penduduk, sedikit sebanyak membuatkan si peladang terasak. Pemberian hormon dan antibiotik kepada haiwan ternakan berlaku hampir kepada semua peladang. Dalam masa 40 hari, seekor ayam itu boleh menjadi besar dan seterusnya boleh disembelih untuk memenuhi permintaan pasaran yang meningkat dari sehari ke sehari ini. Namun, adakah kita pasti penggunaan hormon dan antibiotik ini, dapat menjamin kesihatan ayam tersebut? Baiknya penggunaan hormon ini ialah ia mampu merangsang penghasilan daging dan telur yang banyak kepada pengguna. Tetapi, bagaimana pula dengan keadaan kesihatan ayam tersebut apabila terlalu banyak hormon ‘dimasukkan' kedalam tubuh mereka?

Bukan itu sahaja, apabila penghasilan haiwan melalui teknik agrikultur ini menjadi banyak, ia menyumbang kepada penyebaran pathogen, sama ada sesama mereka mahupun kepada manusia. Apabila terlalu banyak haiwan yang perlu dijaga di dalam sebuah reban atau kandang, adakah kita merasakan ianya sesuai untuk pertumbuhan mereka yang normal? Haiwan ini perlu berasak-asak di dalam kandang, dimana tidak mustahil sesuatu penyakit yang dihidapi oleh hanya seekor, akan senang tersebar kepada haiwan yang lain di dalam kandang tersebut. Cuba kita lihat kembali sejarah selsema babi ini. Sebenarnya wabak ini telah lama wujud di atas muka bumi ini. Cuma, sebelum ini, wabak ini tidak menular kepada populasi manusia secara terbuka. Hanya mereka yang menternak dan terlibat secara langsung dengan penternakan khinzir, mempunyai potensi untuk mendapat wabak ini. Tetapi kini, virus influenza A subtype H1N1 nampaknya merebak dalam kalangan manusia. Bahkan laporan mengatakan bahawa virus ini sebenarnya dibawa oleh manusia. Wabak ini dengan mudahnya merebak ke seluruh dunia melalui penyebaran pathogen oleh seorang manusia kepada manusia yang lain. Maka, bagaimana seseorang manusia itu boleh mendapat wabak ini? Mungkinkah akibat ‘termakan' haiwan yang berpenyakit, ekoran daripada penjagaan yang kurang sempurna? Ataupun kerana ‘terkena' virus daripada haiwan yang berpenyakit di dalam kandang yang kurang sempurna?

Bagi mereka yang beragama Islam, pastinya mereka akan lebih peka kepada perkataan ‘termakan'. Hal ini adalah kerana memakan daging haiwan berkenaan, ditegah oleh agama. Semestinya, Allah tidak mengarahkan sesuatu dengan sia-sia, kerana Dia Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh hamba-hamba-Nya.

Di dalam surah Al-Maidah, ayat 3, Allah berfirman,

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, dan daging (haiwan)yang disembelih bukan atas (nama) Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih...


Sejauh mana manusia cuba untuk memanipulasi dan mengubah sesuatu kejadian itu untuk menjadikannya lebih berkualiti, lebih enak mahupun lebih banyak dari segi kuantiti; tetapi jika Tuhan mengatakan ianya tidak sesuai untuk dimakan, maka, ia perlu untuk dijauhi.

Apa guna ia dibiakkan kepada suatu jumlah yang besar, jika kelak akan menyebarkan penyakit kepada manusia. Apa guna ia dimasukkan dengan gene yang baru untuk tujuan mendapatkan daging yang lebih banyak, jika kelak ianya akan menyebarkan virus berbahaya kepada kehidupan dunia. Apa yang paling penting ialah, jika kita benar-benar punya perasaan empati, mengapa perlu ditempatkan haiwan-haiwan ini di dalam kawasan yang kurang kondusif? Yang akhirnya akan membawa kepada penyebaran penyakit dengan mudah sesama mereka, akhirnya akan menyusahkan kita dan kehidupan lain.

Namun, perkembangan teknologi dalam bidang agrikultur tidak perlu disalahkan sepenuhnya. Hal ini adalah kerana ada beberapa peringkat di mana perkembangan ini sangat diperlukan. Terutama sekali dalam pemuliharaan alam sekitar yang melibatkan organisma benda hidup seperti spesis tumbuhan yang semakin berkurang populasinya. Spesis ini akan ‘dibiakkan' untuk menghasilkan anak pokok yang banyak, seterusnya dapat menampung kembali sistem ekologi dunia. Walaupun mungkin timbul beberapa isu daripada perkara ini, tetapi, paling tidak, cara ini tidak melibatkan pemakanan dan pemindahan gene daripada organisma kepada organisma yang lain. Ia hanya melibatkan penghasilan gene yang banyak daripada satu organisma. Bioteknologi adalah satu bidang yang mendatangkan manfaat kepada manusia jika ianya betul-betul dipraktikkan untuk kesejahteraan semua organisma di muka bumi.

Ada yang bertanya, "jadi, apakah kegunaan babi?". Tahukah kita bahawa untuk beberapa peringkat, haiwan ini boleh menyelamatkan nyawa kita? Haiwan ini mamalia, begitu juga dengan manusia. Jadi, pihak saintis dan penyelidik, menggunakan haiwan ini sebagai bahan ujikaji. Contohnya, untuk mendapatkan penawar kepada sesuatu penyakit. Para penyelidik akan mengambil gene yang terlibat, kemudian di masukkan ke dalam haiwan tersebut. Penyakit yang sama akan dihidap oleh haiwan tersebut, tetapi, apabila penawar telah dijumpai, ianya akan diuji kepada haiwan tersebut. Apabila ia benar-benar berkesan, kemudian barulah penawar tersebut akan diperkenalkan kepada manusia. Mungkin cara ini dianggap ‘kurang berhati perut', tetapi, sekurang-kurangnya kaedah ini dapat menyelamatkan manusia daripada menjadi bahan uji kaji. Bahan uji kaji yang kadang kala, tidak dapat ditentukan keberkesanannya.

Selain itu, terdapat juga beberapa makmal di universiti-universiti yang menggunakan organ dan sel daripada haiwan ini sebagai spesimen. Spesimen ini akan berfungsi untuk mendedahkan kepada pelajar dan pengajar tentang apa yang terdapat di dalam setiap bahagian organisma hidup. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan kefahaman para pelajar tentang ilmu teori mereka.

Keamanan dunia ataupun pemusnahannya sebenarnya amat bergantung kepada manusia. Hal ini adalah kerana manusia lah yang menjadi pentadbir dan makhluk yang berakal di atas bumi ini. Manusia juga yang menentukan buruk atau baik kesan yang akan diterima oleh mereka dan hidupan lain, jika sesuatu perkara itu dilakukan. Jadi, di tangan manusia terletak segalanya, cuma hasil yang baik akan didapati jika apa yang dikerjakan benar-benar mengikut hukum alam yang ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Pencipta.

Thursday, May 21, 2009

>>>ReNuNgKaNLaH WaHaI SaUdArAkU<<<

Aku ada pasangan hidup sendiri.... Bila seronok, aku cari....pasanganku Bila sedih, aku cari....Mak Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku Bila gagal, aku ceritakan pada....Mak Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku Bila berduka, aku peluk erat....Emakku Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah....Mak Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada pasanganku Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu" Selalu.. aku ingat pasanganku Selalu.. Mak ingat kat aku Bila-bila... aku akan talipon pasanganku Entah bila... aku nak talipon Mak Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk Emak


Renungkan: "Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang




Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.


Al- Baqarah 2 Ayat 83

Wednesday, May 20, 2009

Sejauhmana kesan gerakan dakwah di kampus?

Ali Bukhari Amir


Hassan al-Banna barangkali adalah batu asas pertama yang memberikan nafas, penunjuk arah kepada bagaimana seharusnya gerakan dakwah Islamiyyah itu harus memainkan peranannya.

Pada zaman moden, tak salah jika kita katakan bahawa mujahid dakwah ini telah meletakkan asas-asas kepada gerakan Islam. Buah fikir dakwahnya benar-benar jauh menjelajah di mana-mana belahan dunia Islam dan mempengaruhi gerakan Islam yang tumbuh kemudiannya.

Berdiri daripada hakikat ini, maka kita boleh mengiktiraf kedudukan dahwah dan tarbiyyah Ikhwan Muslimin pimpinan beliau sebagai induk kepada dakwah di seluruh dunia ketika Rasulullah tiada lagi di sisi kita.

Keunikan Hasan al-Banna menurut tanggapan peribadi saya, terletak kepada kekuatan dan kesungguhan beliau melihat potensi mahasiswa di universiti sehingga wujud suatu acara yang benar-benar menumpukan kepada usaha membangun potensi mahasiswa itu sehingga berada pada tempatnya yang sebenar.

Selain al-Banna, al-Maududi juga adalah sosok mujahid dakwah yang turut menyatakan keprihatinannya berhubung gerakan mahasiswa ini.

Namun, sehingga kini saya masih tercari-cari adakah al-Banna, al-Maududi pernah mengarang kepada pensyarah universiti, menyusun saranan-saranan dan langkah-langkah yang menuju ke arah pembangunan intelektual para pensyarah?

Akhirnya, saya menarik kesimpulan awal bahawa, sekurang-kurangnya ada tiga sosok yang memainkan peranan penting dalam dakwah kampus universiti sejak dahulu.

Selain teks, nota panduan Hasan al-Banna, dan tulisan al-Maududi, maka pendapat Dr. Ali Shariati turut dirujuk sebagai antara buah fikiran yang berpengaruh di kampus.

Ini kerana, seruan dan semboyan Shariati lebih banyak menumpukan kepada slogan Rausyan Fikir (Ahli Fikir). Barangkali, Malek Ben Nabi juga boleh kita masukkan dalam golongan ini.

Kelemahan siswa atau pensyarah?

Alkisahnya, baru-baru ini, saya berkesempatan berbual dengan seorang pensyarah. Sejak pertemuan yang lalu, ada sedikit perbezaan antara saya dengan beliau mengenai isu gerakan intelektual yang kering dan lembap di kampus.

Saya lebih banyak melihat punca kelembapan ini bermuara daripada mahasiswa, sebaliknya beliau lebih banyak menyalahkan pensyarah universiti. Perbezaan pandangan ini bukanlah terlalu meruncing, malah ia berjalan dengan sihat.

"Mereka pergi ke luar negeri, membentangkan satu kertas kajian, tapi dikongsi bersama empat orang," kata pensyarah itu ketika bercerita mengenai beberapa masalah kajian akademik di universiti.

Turut dibangkitkan tentang isu dana, geran penyelidikan yang sukar didapati. Dan, ada kalangan pensyarah yang terpaksa menukar tajuk kajiannya untuk mendapatkan dana geran penyelidikan itu diputuskan oleh pihak atasan.

Lalu, politik kampus ini bukanlah semata-mata pertarungan membabitkan pelajar dan HEP seperti yang berlaku baru-baru ini di Universiti Utara Malaysia.

Kes terbaru, melibatkan seorang pelajar tahun tiga yang membuat bantahan ke atas harga tambang bas di universiti. Bantahan itu dibuat melalui internet.

Maklumat terakhir yang saya tahu, perbicaraan itu ditunda kepada tarikh yang berikutnya. Mungkinkan kerana wujud suatu tekanan besar-besaran di akhbar, maka pihak UUM akhirnya menunda perbicaraan tersebut. Hal itu masih samar-samar lagi buat masa ini.

walaupun kelihatan mahasiswa ditekan dengan hebat, pensyarah pun tak kurang hebat tekanannya. Pensyarah pula mestilah berhati-hati kerana pekerjaannya itu adalah rezekinya.

Pelajar pada kebiasaannya akan 'mengganas' ketika mereka berada di tahun terakhir. Mereka ada setahun atau satu semester saja untuk tonjolkan diri kepada parti-parti politik.

Demikianlah saya difahamkan oleh rakan-rakan mengenai kaedah melonjakkan nama dalam parti-parti tertentu. Ada kalangan mereka yang berjaya menggunakan teknik ini. Selebihnya, hilang entah ke mana.

Mana-mana yang masih terlekat dalam kegiatan kepartian, ertinya mereka ada kualiti. Yang tertinggal jauh ke belakang, akhirnya perlahan-lahan malap dan suram dengan sendirinya.

Yang paling penting bagi seseorang pemimpin pelajar itu bukanlah kehebatannya berpidato dan mutu penulisannya sangat. Tetapi, sejauhmanakah dia mampu mempertahan prinsipnya. Di situlah terletaknya maruah perjuangannya.

Mereka mungkin memiliki seni berpidato yang baik. Tapi, setelah ditahan, akhirnya mengalah, mengelak dan kemudian cuba berdalih dengan menyatakan penulisan itu bukan miliknya dan lain-lain lagi.

Ada juga yang ditangkap buat kali pertama dan akhirnya terus tidak menulis dan berpidato lagi setelah dikenakan hukuman itu.

"Saya tak salahkan pelajar sangat," begitu kata pensyarah, teman saya ketika bertukar-tukar fikiran itu, dan semua itu membidas pandangan asal saya. "Malah, pensyarah itulah yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya."

Pensyarah, menurut beliau, sudah tidak berani lagi merangsang pemikiran mahasiswa untuk kembali berfikir mengenai niat matlamat sebenar mereka tiba di universiti ini.

"Apa yang penting bagi pensyarah ini, mereka datang ke kuliah, mengajar lebih kurang dan kemudian apabila tibanya masa peperiksaan, pensyarah ini akan berikan soalan-soalan ramalan untuk menjawab peperiksaan," kata beliau.

Mas'ul tidak berperanan?

Pendapat itu mungkin ada kebenarannya juga. Mas'ul dalam kalangan pensyarah sendiri kadang-kadang tidak mempertahankan pendirian anak-anak usrahnya. Semua ini akhirnya mematikan semangat juang para pelajar tersebut. Hal ini jarang-jarang disebutkan juga.

Kalau mahu dibandingkan dengan zaman 1970-an dahulu, mahasiswa dan pensyarah sama-sama naik ke pentas berpidato serta berjuang mempertahankan pendirian masing-masing sama ada di dalam atau di luar kampus.

Sama ada pensyarah dan pelajar, sama-sama dihadapkan dengan pertuduhan dan sama-sama merengkok dalam penjara, sama-sama terbuang dalam ISA.

Pada saya, ini memang baru betul-betul perjuangan. Siswa menyokong gurunya dan gurunya mendokong siswanya. Saling ada kepercayaan dan selalu bahu-membahu antara mereka, mengikat tali kesetiaan dalam merempuh badai kezaliman penguasa.

Dan pada saat itulah pemikiran Hasan al-Banna, buah fikiran al-Maududi dikoyak, kuliah syarahan Shariati diratah hadam segala isinya bersama-sama. Kini, yang tinggal mungkin 'raga dakwah' sedangkan 'jiwa, ruh dakwah' hilang ke mana?

Mungkin masih ada lagi usrah, tamrin yang bersifat program luaran, tetapi penghayatan semula Usul Isyrin (Asas 20), 10 wasiat al-Banna dan segala-galanya itu semakin tenggelam oleh arus pertengkaran antara Salafi, wahabi, Syiah di IPT.

Tapi, jika sesekali sergahan HEP menjengah dengan Aukunya, pensyarah dan mahasiswanya lari bertempiaran, hilang tempat pergantungan. Bermusuh sengketa sesama sendiri memang kuat, tetapi dengan musuh tradisi lari pula. Itu yang dikeluhkan oleh seorang rakan.

Dokumentasi mengenai perjuangan pensyarah

Satu hal lain yang tak kalah menariknya, apabila menyentuh isu politik kampus yang terkait dengan kekangan pensyarah, kita mungkin sukar mencari bahan rujukan seperti buku-buku yang memperihalkan dokumentasi perjuangan pensyarah.

Atau, yang lebih tepatnya kita sukar mencari isu-isu yang mengekang aktivisme pensyarah dalam menjalankan penyelidikan mereka yang bersifat kemanusiaan, sejarah, kemasyarakatan dan lain-lainnya.

Yang kerap muncul di dada akhbar perdana, ialah hasil penyelidikan teknologi pemprosesan jus buah-buahan untuk dipasarkan di luar negeri dan sebagainya.

Maaf, kalau bersikap sinis. Saya cuma ingin menagih jawapan. Itu sahaja. Adakah kajian mengenai masalah politik, parti Melayu di universiti boleh diberi dana penyelidikan? Mustahil.. kajian ini mungkin 'menembak' ke dada sendiri.

Tetapi, kalau pemnerintah mahu bermuhasabah diri, inilah masanya. Mahasiswa itu mestilah dibenarkan untuk menemuramah para pemimpin politik mengenai masalah 'politik wang' (kalimat rasuah adalah lebih afdal!) dan pensyarahnya yang telah ada geran penyelidikan itu diberi ruang seluas-luasnya tanpa takut untuk mengkaji masalah dalaman parti pemerintah.

Saya yakin benar, masih ramai pensyarah dan mahasiswa yang mampu mempertahan tahap profesionalisme mereka.

Barangkali, salah satu buku yang mungkin boleh dijadikan sandaran rujukan adalah The Closing of the American Mind yang diterbitkan pada 1987, setelah pengarangnya, Dr Allan Bloom menulis sebuah esei mengenai kegagalan universiti memenuhi keperluan para pelajarnya sebelum itu.

Buku ini khusus menceritakan kegagalan institusi pengajian tinggi di Amerika sendiri ketika kita berasa terlalu megah apabila universiti-universiti di Barat sedang rancak membina penarafan universiti-universiti yang terbaik di dunia.

Turut termuat dalam buku itu, hal-ehwal tajuk-tajuk perbincangan tentang falsafah politik Plato dan lain-lain failasuf dalam tamadun Barat. Di Malaysia, saya masih tercari-cari.

Mungkin ada dan tidak mustahil kalau saya terlepas pandang. Kalau ada, harap sesiapa dapat cadangkan. Kalau ada, mungkinkah ada dibincangkan masalah pensyarah yang sukar mendapat dana dan geran penyelidikan itu?

Tetapi itulah masalahnya. Segalanya memerlukan dana penyelidikan dan rasa-rasanya universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi mungkin masih belum dapat berjihad dan berijtihad untuk memutuskan sama ada berbaloi atau tidak bidang kajian seumpama ini.

Mungkin jika sosok Hasan al-Banna, Abul 'Ala al-Maududi dan Dr Ali Shariati masih hidup, entah bagaimanalah rupa paras dan wajah pemikiran yang tercermin di dalam bingkai akliah mereka tatkala melihat fenomena pengajian tinggi di negara kita pada hari ini? Wallahu'alam..

Thursday, May 14, 2009

MB saran wanita pelajari ilmu silat


KOTA BHARU, 27 (Hrkh) - Golongan wanita khususnya di kalangan remaja disaran mempelajari ilmu mempertahankan diri bagi dimanfaat ketika waktu-waktu terdesak.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ilmu tersebut wajar dipelajari sebagai usaha untuk mempertahankan diri daripada gangguan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, apabila wanita mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri kejadian ragut dan pencabulan yang semakin menjadi-jadi membabitkan golongan wanita sekarang dapat dikurangkan.

"Sekiranya golongan wanita mempunyai ilmu itu sedikit sebanyak mereka tahu cara untuk mempertahankan diri dari terus menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya di sini.

Sehubungan itu beliau mencadangkan wanita yang berminat mempelajari ilmu mempertahankan diri mencari tenaga pengajar yang benar-benar terlatih serta diiktiraf.

Beliau juga mencadangkan Nisa' Malaysia turut menganjurkan kejohanan seni mempertahankan diri di kalangan wanita dalam sukan Nisa' pada masa akan datang.

"Selain itu acara renang juga wajar dipertimbangkan diadakan dalam acara sukan itu yang hanya membabitkan golongan wanita sahaja," ujarnya.

Cara Rasulullah atasi krisis ekonomi


SEBENARNYA persoalan krisis ekonomi pernah terjadi pada masa Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Namun dengan metod, kerjasama dan kesabaran, krisis tersebut dapat ditangani dengan jayanya terutama pasca hijrah Baginda dan sahabat di kota Madinah (Yathrib) yang terkenal dalam sektor pertanian dan perniagaan.

Di sana terdapat pasar yang mengandungi segala sektor perekonomian, perindustrian, penternakan serta perdagangan telah berjalan dengan baik dan lancar.

Madinah adalah sebuah kota lokasi sangat strategik yang sebahagian besar berorientasi bahan pertanian. Oleh kerana itu, sebahagian besar penduduknya bergantung pada sektor pertanian dan perdagangan.

Produk pertanian yang utama adalah buah anggur dan kurma. Situasi Madinah dapat dilihat dari gambaran yang diinformasikan al-Quran yang maksud-Nya: Dan di bumi terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon kurma yang bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (al-Ra'du: 4).

Selain itu, kota Madinah juga kaya dengan produksi dari hasil tanaman gandum, sayur-sayuran, buah-buahan dan juga barli. Tidak hanya itu, kota ini juga adalah pengeluar terbesar buah kurma atau tamar terutama menjelang musim kemarau. Daripada penghasilan ini saja, kota Madinah dapat memainkan peranan penting dalam perekonomian di kawasan sekitarnya.

Kurma adalah suatu jenis pohon yang mempunyai multi fungsi, sebab seluruh bahagian pohon tersebut mempunyai manfaat, buahnya sebagai makanan, batangnya dapat dijadikan tiang-tiang rumah, sedangkan daunnya dapat dijadikan bahan penguat dan juga makanan haiwan.

Gambaran strateginya lokasi Madinah juga dapat dilihat dari kebun-kebun yang dipagari serta dipenuhi dengan telaga-telaga kandungan air mineral yang banyak. Tegasnya Madinah adalah kota yang sangat strategik ditambah penghuninya sangat mahir dalam bidang pertanian.

Dengan banyaknya infrastruktur ekonomi yang ada di Madinah, para pelaku pasar telah menerapkan berbagai sistem ekonomi pada ketika itu. Di antaranya sistem perekonomian yang dijalankan seperti sistem al-Muzara'ah, al-Mu'ajarah, al-Muzabanah, al-Mu'awamah.

Sistem--sistem yang ada itu sebahagian digunakan sebagai sistem ekonomi Islam dan sebahagian lainnya dimurnikan oleh ajaran Islam.

Sebagai kota penting pada masa itu, walaupun Madinah adalah kota yang kaya dengan bahan makanan pokok, namun tetap mengimport beberapa produk sebagai tambahan makanan yang sedia ada. Misalnya tepung gandum, lemak sapi, madu dan beberapa jenis makanan lainnya diimport dari negara jiran seperti Jordan dan negara sekitarnya.

Peristiwa ini dirakam oleh hadis dari Qatadah bin Nu'man yang diriwayatkan Imam Tirmizi. Makanan pokok masyarakat Madinah adalah kurma dan gandum. Kadang-kadang mereka bawa masuk barang dari luar dengan menggunakan dafitah (alat pemikul barang diletakkan di kiri kanan belakang unta, kuda dan sebagainya).

Madinah yang mempunyai sumber daya dan letaknya yang sangat strategik, ternyata tidak menjamin terjadinya kemakmuran di negeri itu. Bahkan sebaliknya Madinah pernah diterpa dan terlibat krisis ekonomi yang berpanjangan.

Kesejahteraan tidak terjadi secara merata, perbezaan taraf ekonomi masyarakat sangat ketara. Sebahagian masyarakat sangat kaya, namun sebahagian lainnya miskin. Lebih dari itu, ditambah dengan krisis politik yang disebabkan terjadi pertikaian dan konflik para elit politik waktu itu. Keadaan ini memberi impak negatif terhadap pengurusan sumber daya alam dan manusia di kota Madinah.

Di samping itu, ketika kaum Muhajirin berhijrah dari Mekah ke Madinah sebenarnya tidak membawa bekal yang cukup seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Namun sebagai seorang pemimpin yang bijak, keadaan ini telah dikuasai Rasulullah SAW.

Justeru sebelum berangkat berhijrah ke Madinah, sesungguhnya Rasulullah telah melakukan penyelidikan, mengumpulkan data hasil pemerhatian awal yang dilakukan para sahabat.

Sebelum berhijrah ke Madinah, Rasulullah mengutus Mus'ab bin Umair untuk melihat keadaan sosio politik dan sosio ekonomi Madinah sebagai bekal sebelum memasuki tempat kota berhijrah tersebut.

Lagi pula dalam sektor ekonomi, pada waktu itu di Madinah telah berada dalam cengkaman sistem kapitalis Yahudi, di mana mereka telah memegang sumber-sumber ekonomi yang berdasarkan sistem riba yang berleluasa. Sistem monopoli telah merosak norma-norma kemanusiaan.

Kaum Yahudi juga telah melakukan berbagai propaganda dalam menghancurkan dakwah Islam yang dijalankan Rasulullah dan para sahabat.

Mereka juga melakukan usaha penghasutan dengan pemboikotan agar tidak memberikan bantuan makanan kepada kaum Muhajirin yang datang dari Mekah.

Krisis ekonomi juga ketika itu disebabkan peperangan antara suku Aus dan Khazraj yang berpanjangan. Peperangan yang memakan waktu cukup lama itu tentunya mengeluarkan biaya perang yang bukan sedikit, seperti membeli peralatan senjata dan alat perang lainnya.

Kaum Muhajirin juga sedang mengalami masa transisi ekonomi akibat perpindahan yang mereka lakukan. Kemampuan ekonomi mereka sangat terbatas, apa lagi krisis ekonomi bawaan dari Mekah yang telah mereka hadapi sebelumnya. Tentunya keadaan ini menjadikan krisis ekonomi di Madinah semakin parah dan bertambah.

Keadaan yang sangat ketara ini juga, ditambah lagi terjadi pada tahun sembilan hijrah, iaitu berhadapan dengan tentera Romawi pada perang Tabuk. Di mana waktu itu berlaku musim panas yang berpanjangan di Madinah, tentera Romawi lebih bersiap sedia dengan peralatan dan gendangan perangnya.

Berbagai himpitan situasi krisis ekonomi yang dihadapi Rasulullah SAW dan para sahabat dengan segala faktor yang melingkunginya. Namun Rasulullah sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan bijaksana mengatasi krisis tersebut dengan tekun dan jayanya.

Wednesday, May 13, 2009

Kewajiban berwasiat, bertaubat sebelum tidur

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tue | May 12, 09 | 1:04:56 pm MYT

Imam Ghazali menyatakan; bahawa doa kebanyakan para nabi a.s., ialah berdoa seperti berikut (yang bermaksud): "Ya Allah Tuhanku, aku minta ampun kepada-Mu daripada sebarang dosa yang aku telah bertaubat, tapi setelah itu aku lakukan semula. Aku minta ampun daripada semua yang telah aku janji dalam hati kepada-Mu tetapi tidak aku laksanakan.

"Aku bertaubat daripada dosa waktu aku ibadat untuk-Mu, tetapi tiba-tiba mencelah sesuatu menyebabkan ibadah berubah kepada kerana yang lain daripada-Mu.

"Aku mohon ampun kepada-Mu kerana nikmat yang Engkau kurniakan itu sepatutnya untuk mentaati-Mu, sebaliknya telah aku gunakannya untuk ingkar suruhan-Mu.

"Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui sama ada yang zahir atau yang terselindung, aku minta ampun daripada sebarang dosa yang aku lakukan pada siang hari atau pada malam gelap di tempat tersembunyi, ketika beramai atau ketika seorang diri, ampunilah daku wahai Tuhan yang Maha Lemah Lembut."

Demikian doa dan istighfar para nabi sejak daripada Nabi Adam a.s. hingga ke Nabi Muhammad s.a..w., telah dinukilkan oleh Imam Ghazali yang dimuatkan dalam kitabnya untuk mendapat perhatian dan menjadi amalan umat akhir zaman, yang persoalannya sangat penting dan bernilai tinggi.

Kini akan membincangkan mengenai adab tidur. Meskipun tidur itu sebagai perkara tabiei kebiasaan bagi manusia, sebagaimana makan minum dan naluri lain seumpamanya, semua tuntutan naluri tabiei dan segala gerak-geri itu, boleh dijadikan sumber pahala untuk bekalan ahirat.

Tidur merupakan kesinambungan daripada sifat mengantuk. Sesungguhnya sifat mengantuk itu bukan sesuatu yang dicari atau diusahakan, tetapi ia terjadi setelah tubuh letih akibat aktiviti kerja sepanjang hari.

Islam mengajar manusia sama ada perkara yang diikhtiar atau tidak jika seseorang itu tahu, ia akan jadi bekalan hidup di akhirat.

Tidur setelah didahului rasa mengantuk kurniaan Tuhan, akan menjadikan tubuh rehat dan cergas segar semula. Di akhirat ada habuan bagi manusia itu.

Justeru Islam mengajar peraturan dan adab tidur, supaya tidur menjadi suatu ibadah yang berfaedah kepada manusia di dunia dan akhirat.

Peraturan dan adab yang pertama, ialah bersihkan mulut dengan bersugi (gosok gigi) dan bersuci serta berwuduk.

Islam bukan saja suruh berwuduk ketika hendak menunaikan solat atau membaca al-Quran, bahkan Islam anjurkan berwuduk itu mengajar manusia agar tidur dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT.

Seseorang yang berwuduk andainya meninggal dunia semasa tidur, maka matinya dalam keadaan suci bersih. Tiada yang boleh beri jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula untuk meneruskan hidupnya.

Oleh itu apabila seseorang hendak tidur dia hendaklah bersiap, kerana dia sendiripun tidak tahu masih adakah baki umurnya selepas tidur.

Setelah bersugi dan berwuduk mereka dikehendaki bersiap menyediakan air (khusus di tempat yang sukar air) untuk bersugi dan berwuduk selepas bangun pagi esoknya.

Jika dia dikurniakan umur lagi, persiapan itu untuk mengulangi keperluan bersugi dan berwuduk sebagai sunnah Nabi s.a.w.

Sebelum meletakkan kepala atas bantal untuk tidur, hendaklah dia menaruh azam dalam hati dengan niat untuk bangun menunaikan ibadat solat tahajud dan witir juga ibadah selainnya.

Kalau tidur berniat begini akan dipermudah oleh Allah SWT untuk bangun pada hujung malam. Ini kerana tidur dengan hasrat untuk melakukan ibadah sebagaimana kelazimannya, tidurnya tidaklah tidur mati tetapi sentiasa teringat-ingat akan niatnya.

Adab tidur seterusnya ialah bagi mereka yang sepatutnya ada wasiat lantaran berhutang, maka kewajiban mereka ialah menyediakan surat wasiat.

Kewajiban orang berhutang ialah berwasiat kepada keluarganya, supaya tanggungjawab itu dipikul keluarganya jika dia meninggal dunia.

Jika orang yang berhutang itu mati menyebabkan rohnya terseksa, tidak dapat ke mana-mana dan tidak dapat menikmati fadilat syahid. Hutang yang belum dilunaskan jadi penghalang menikmati segala fadilat itu.

Orang yang mempunyai keyakinan mengenai bahaya hutang yang belum dijelaskan, wajib baginya berwasiat kerana seseorang itu tidak selamat daripada diambil nyawanya oleh Tuhan semasa tidur.

Hendaklah sedar bahawa seseorang ketika tidur mempunyai peluang lebih luas untuk mati, berbanding peluang untuk terus hidup.

Ini kerana apabila seseorang tidur rohnya akan beredar meninggalkan jasad, meskipun jantung dan nadi bergerak darah terus mengalir dan nafas keluar masuk.

Hal tersebut terserah sepenuhnya kepada kudrat Allah SWT. Justeru dalam keadaan tidak sedar kerana roh naik ke atas seperti benar-benar telah mati.

b seterusnya apabila bersiap untuk tidur, seseorang itu bertaubat daripada semua dosa, dan tidur dalam keadaan hati suci bersih dengan semua orang Islam. Tiada hasrat di hati hendak menganiaya orang apabila terjaga esok.

Dengan adab itu dunia akan aman daripada segala kemungkaran dan penyelewengan juga keburukan. Jika seseorang tidak menghormati janji sendiri yang dibuat sebelum tidur, lalu bagaimanakah orang lain akan menghormati dirinya. - lanh _

Monday, May 11, 2009

Tips elak Histeria: Haron Din saran amal Muawizat

Azamin Amin
Wed | Feb 25, 09 | 12:58:34 pm MYT

Kejadian histeria adalah fenomena yang sering berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak di samping mengamalkan beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi gejala terbabit.

Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah Muawizat.

Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w menyebut ayatul Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.

Demikian saranan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din ketika diminta mengulas berhubung kejadian histeria di sekolah-sekolah yang terpaksa ditutup akibat kejadian Histeria.

Beliau turut menjelaskan beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah berlaku 'breakdown' pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus mengganggu hingga terjadinya histeria.

"Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang dipercayai ada makhluk halus," katanya yang kini berada di Langkawi ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Selain itu, akibat manusia yang menceroboh kawasan 'mereka' hingga mereka datang 'membalas' pula.

"Dan fenomena ini tidak hanya berlaku di sekolah-sekolah agama, sekolah biasa atau berasrama penuh sahaja tetapi juga banyak terjadi di kilang-kilang serta tempat orang berkenduri kendara," kata pengamal perubatan Islam itu.

'Pindahkan' makhluk halus ke kawasan lain

ImageIni menjelaskan lagi katanya bahawa dunia ini tidak didiami oleh manusia sahaja malah turut dihuni oleh makhluk-mahkluk lain juga yang dikenali dengan pelbagai nama dan oleh yang demikian manusia sewajarnya tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan 'mereka' atau lebih baik lagi berdoa kepada Allah SWT supaya dihindari dari gangguan jin syaitan mahupun makhluk halus.

"Sebaik-baiknya sebelum buat bangunan atau sekolah di satu-satu kawasan, perlu berdoa terlebih dahulu supaya dilindungi ataupun 'memindahkan' makhluk tersebut ke kawasan yang lain," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Rasullulah juga turut berdoa kepada Allah agar dilindungi daripada diganggu oleh makhluk yang mendiami alam ghaib ini.

Doa tersebut katanya berbunyi begini: "Wahai bumi, tuhanku dan tuhanmu sama iaitu Allah, aku mohon perlindungan Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang keluar darimu, dan kejahatan yang turun atasmu, kejahatan yang melata atasmu seperti binatang berbisa dan mahkluk halus yang mendiami tempat ini serta keturunan-keturunan mereka."

Sebelum itu, Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahid, yang turut mengulas kejadian terbabit dilaporkan berkata bahawa apabila seseorang takut kepada syaitan dan makhluk halus seperti jin, ia hanya akan menyebabkan makhluk itu semakin bongkak.

Jangan tinggal solat

"Kita ambil contoh, kadang-kadang pelajar yang tinggal di asrama, khususnya pelajar perempuan, sering ditakut-takutkan dengan kewujudan 'penunggu' di bilik air dan disuruh berhati-hati sehingga akhirnya mereka percaya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar di sekolah berkenaan tidak meninggalkan solat dan menjaga disiplin dan apabila seseorang meninggalkan solat, amat mudah syaitan mengganggu menyebabkan kejadian seperti histeria.

Mohd Tamyes yang mempunyai pandangan yang sama dengan Haron Din berkata, mahkluk halus seperti jin berada di sekeliling manusia, cuma ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Seperti manusia, katanya, ia memiliki tempat tinggal dan selalunya menghuni rumah yang ditinggalkan kosong.

"Semua pelajar perlu berhati-hati dan mempunyai kekuatan diri supaya tidak mudah dirasuk serta tidak mudah takut dengan gangguan syaitan dan iblis,katanya - azm

(Interbiu dengan Dato' Haron Din berhubung kes histeria ini dibuat dua tahun lalu, sekadar panduan dan rujukan kepada yang terlibat dan yang mahu mengambil pengajaran daripadanya- wallahualam)

Nabi dan Perang Fujjar


KISAH pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan Rahib Buhaira dikatakan masih diselubungi pelbagai misteri dan persoalan. Malah ada yang mengatakan pertemuan itu tidak sekadar baginda diakui sebagai bakal Nabi terakhir yang ditunggu-tunggu oleh pengikut Yahudi dan Nasrani.

Tetapi baginda dikatakan menerima objek tertentu dari rahib itu yang selama ini disimpan dan menunggu masa sahaja untuk diserahkan kepadanya.

Namun perkara ini tidak dapat dipastikan kesahihannya. Kecuali kita mengkaji lebih teliti sejarah-sejarah terbabit terutama ajaran Nasrani yang dikenali Kristian Nestorian ini.

Ramai yang ingin mengetahui kisah selanjutnya mengenai Buhaira ini setelah beliau berjaya dalam misi mengenalpasti kerasulan yang terdapat pada seorang kanak-kanak yang dibawa oleh Abu Talib untuk berdagang ke Syam itu.

Adakah setelah menemui Rasulullah dan menyaksikan pelbagai tanda kebesaran termasuk beliau dapat melihat dengan jelas awan yang rendah dan mengekori perjalanan rombongan dagangan Abu Talib bagi melindungi mereka dari cahaya terik matahari, beliau terus kekal dengan pegangan Nasraninya itu?

Kisah selanjutnya kali ini, tidak kurang menariknya apabila dikatakan dalam usia 15 tahun Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan keberanian yang luar biasa apabila buat pertama kali baginda terlibat dalam peperangan.

Ini apabila berlaku peperangan antara Arab Quraisy melawan puak atau suku Hawazan. Iaitu yang dikenali sebagai Perang Fujjar. Bagi sesetengah riwayat menyebutnya sebagai Perang Fijar bererti 'jahat'.

Dalam peperangan itu, Nabi SAW berada dalam posisi perang yang tidak kurang penting. Baginda membekalkan anak-anak panah untuk bapa-bapa saudaranya yang turut serta dalam peperangan itu. Dengan kata lain, baginda bertanggungjawab mempersiapkan mereka anak-anak panah untuk menyerang musuh.

Diceritakan juga, baginda sangat pintar dengan bertindak mengutip dan mengumpulkan semua senjata termasuk tombak dan anak-anak panah yang dilepaskan oleh pihak musuh untuk diguna semula oleh pihak Quraisy.

Begitu pun dalam riwayat sejarah yang lain seperti yang ditulis oleh Jaafar Subhani, baginda dalam peperangan itu mempunyai peranan yang lebih mencabar apabila dalam usia yang semuda itu Nabi Muhammad dikatakan bertindak menangkis atau memintas serangan anak-anak panah yang disasarkan untuk mencederakan bapa-bapa saudaranya itu.

Ibnu Hisyam meriwayatkan kata-kata Nabi yang menyebut: "Aku menangkis anak-anak panah yang diarahkan kepada pakcik-pakcik ku itu".

Bagaimana baginda dapat bertindak dengan sebegitu berani tidaklah diketahui tetapi yang pasti perbuatan itu sangat membahayakan kepada nyawa baginda sendiri.

Namun sebelum itu, kita mesti mengetahui apakah kisah sebenar di sebalik sejarah Perang Fujjar yang dari aspek lughahnya bermakna 'tidak adil' ini.

Bulan diharamkan perang

Perang Fujjar sebenarnya merupakan siri-siri perangan yang berlaku dalam bulan-bulan yang diharamkan untuk semua penduduk Arab berperang sesama mereka.

Ini kerana penduduk Arab di zaman Jahiliah ini seperti yang diketahui umum sering menghabiskan sebahagian besar masa mereka dengan berperang, bertempur atau pergaduhan terutama melibatkan kabilah atau suku-suku kaum.

Punca perang adalah daripada soal yang titik bengik sehinggalah kepada soal yang sebesar-besar punca.

Fenomena perang ini tidak menjanjikan keamanan dan kedamaian sehingga kehidupan menjadi tergugat. Ia menganggu urusan seharian terutama dalam sektor perniagaan dan perdagangan yang telah menjadi nadi ekonomi penduduk Arab itu.

Tetapi pada hakikatnya mereka tidak dapat mengelak daripada peperangan demi peperangan. Pada bila-bila masa sahaja ia boleh meletus tanpa ada sesiapa dapat menahannya lagi.

Hakikat ini terpaksa mereka akui tetapi kata sepakat dan persetujuan dicapai supaya peperangan tidak boleh berlaku pada bulan-bulan yang diharamkan berperang. Iaitu dalam tempoh setahun, mereka diharamkan berperang dalam bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Dalam tempoh empat bulan ini tiada sebarang peperangan dibenarkan.

Dengan lain perkataan di luar bulan-bulan tersebut jika mereka hendak berperang juga maka itu tidak dapat dielakkan lagi.

Justeru, dalam tempoh empat bulan yang aman itu seluruh penduduk dapat merancakkan semua kegiatan perekonomian mereka, keluar bekerja, berniaga dan sebagainya asalkan sahaja pendapatan diperolehi dan hidup dapat diteruskan.

Ketetapan bulan-bulan yang diisytiharkan haram berperang ini menyaksikan pasar-pasar seperti Ukaz, Dzul Majjaz dan Mujannah begitu sibuk dan sesak dengan segala macam aktiviti perniagaan. Sama ada mereka kawan atau lawan, masing-masing akan berurusan dengan baik dan mengelak dari berlaku sebarang pergaduhan dan pertengkaran.

Ketika itu jugalah golongan 'artis' atau penggiat-penggiat seni yang masyhur akan tampil dan memukau perhatian para pendengar dan penonton dengan nyanyian-nyanyian lagu dan syair, hasil ciptaan yang bermutu tinggi.

Tidak kalah juga para pemidato-pemidato yang turut mengambil bahagian untuk menonjolkan bakat berpidato mereka sehingga begitu ramai yang terpegun dan asyik mendengarkannya.

Ketika ini juga para rahib dan pendita Yahudi Nasrani dan ketua-ketua ajaran pagan atau animisme akan memperkenalkan ajaran agama dan kepercayaan masing-masing kepada orang ramai.

Mereka 'berdakwah' secara lantang di hadapan khalayak seluruh penduduk Arab terutama yang mengunjungi Kota Mekah tanpa sebarang khuatir terhadap mana-mana pihak.

Sosio budaya

Begitulah uniknya suasana sosio budaya Arab Jahiliah apabila semuanya menghormati bulan-bulan yang diharamkan berperang itu.

Tetapi seperti yang disebutkan sebelum ini, perang tetap juga meletus tanpa mengira masa dan keadaan.

Peperangan yang berlaku di bulan-bulan haram inilah dikenali sebagai Perang Fujjar atau Fijar kerana melanggar 'adat' atau tempoh gencatan tersebut.

Namun dikatakan juga Perang Fujjar ini adalah perang yang berlaku di Tanah Haram, iaitu kawasan sekitar atau berhampiran Kaabah dan Kota Mekah yang diharamkan dari berlaku sebarang pembunuhan hatta membabitkan seekor semut!

Mungkin anda berminat untuk mengetahui beberapa siri Peperangan Fujjar ini, dari empat catatan perang yang ditemui termasuk salah satunya yang disertai oleh baginda Nabi Muhammad, kesemuanya mempunyai kisah yang menarik.

1) Perang Fujjar Pertama. Perang ini meletus melibatkan pertempuran antara Kabilah atau Suku Kananah dan Hawazan yang berpunca dari satu peristiwa yang agak pelik namun agak melucukan.

Ini apabila salah seorang dari Kabilah tersebut bernama Badar bin Masyar memilih Pasar Ukaz untuk beliau membacakan sajak atau syair puji-pujian setiap hari di hadapan para pengunjung dan para penonton deklamasi sajak itu.

Pada suatu hari, dengan sebilah pedang tajam yang terhunus, Badar menarik perhatian pendengar dengan berkata:

"Aku orang yang paling terhormat!

Sesiapa yang cuba menolak pengakuan ku ini,

Akan ku tebas dengan pedang ini,

Bagi kau rasa tajamnya senjata ku ini!"

Ketika itulah, seorang lelaki dari suku kaum yang lain tiba-tiba bangkit dan menebas kaki Badar dengan sebilah senjata tajam sehingga terputus kedua-dua belah kaki penyair malang itu.

Akibatnya, meletuslah perang antara kabilah-kabilah itu yang mujur dapat dihentikan sebelum ada sesiapa yang terbunuh!

2) Perang Fujjar Kedua. Mengisahkan seorang wanita yang dikatakan seorang yang sangat cantik berasal dari Bani Amir. Kecantikannya menarik perhatian seorang pemuda, lalu si pemuda ini meminta wanita itu mempamerkan kecantikan dan kejelitaan wajahnya.

Kemarahan

Tentu sahaja permintaan itu menimbulkan kemarahan wanita berkenaan, namun si pemuda tidak putus asa. Dia terus mengait dan menarik hujung kerudung wanita itu menyebabkan kerudung itu terbuka dan mendedahkan kecantikan wanita itu.

Perbuatan melampau pemuda ini tentu sahaja umpama api yang mencetuskan kebakaran maka berlakulah peperangan antara puak-puak yang hanya berjaya dihentikan selepas ada beberapa mangsa terbunuh.

Perang Fujjar iaitu antara Puak Quraisy dengan Puak Hawazan yang disertai oleh Nabi itu sendiri adalah yang paling lama, iaitu sehingga empat tahun lamanya.

Ini menyebabkan ada yang menyebut perang ini berakhir ketika baginda memasuki usia 20 tahun. Punca peperangan adalah pertikaian dalam urusan perniagaan di pasar Ukaz yang tidak lebih akibat salah faham sahaja.

Perang ini hanya berakhir dengan membayar diat atau wang darah kepada suku Hawazan yang lebih banyak kehilangan nyawa berbanding mangsa yang terbunuh di pihak Quraisy.

Penyertaan dalam peperangan ini tentunya memberikan satu asas yang kuat kepada baginda mampu menempuh cabaran-cabaran peperangan yang terpaksa baginda hadapi ketika secara rasmi menjadi Rasul.

Begitu pun, kita tidak boleh sama sekali menyifatkan perkara ini menjadi bukti atau asas bahawa baginda dikatakan suka kepada berperang. Atau Islam itu ditegakkan melalui sebilah pedang seperti yang dakwaan sesetengah pihak!

Baginda tidak dapat mengelak terlibat tetapi apabila berperang bagindalah panglima perang yang paling gagah berani.

Namun, di sudut yang lain, baginda adalah yang paling baik dan mengasihi musuh-musuh terutama yang menjadi tawanan!

Sunday, May 10, 2009

Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Fri | May 08, 09 | 1:02:22 pm MYT

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.

Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali."

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.

Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap.

Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'.

Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."

Ia bermaksud: Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat.

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya.

Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi.

Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.

Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.

Saturday, May 9, 2009

Bercinta dengan bukan Islam

Soalan 1:

Apakah hukumnya bercinta dengan orang berlainan agama. Adakah haram atau sebaliknya?

Jawapan:

Islam tidak menafikan perasaan cinta kerana ia adalah satu perasaan yang fitrah dalam kehidupan manusia. Hidup seseorang manusia sentiasa diliputi dengan cinta dan kasih sayang.

Islam mengakui adanya rasa cinta yang ada dalam diri manusia. Ketika seseorang memiliki rasa cinta, maka hal itu adalah anugerah Allah SWT: Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang, itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. (ali-'Imran: 14).

Namun, Islam sebagai al-Din memberi panduan lengkap bagi setiap lapangan hidup termasuklah dalam bab bercinta. Cinta itu harus diatur dengan sebaik-baiknya agar tidak salah dan tersasar daripada penerapannya yang sebenar.

Rasa cinta sebenarnya itu sewajarnya dipendam dalam hati, dan kelak baru diungkapkan setelah menjadi pasangan suami isteri yang sah menurut ajaran Islam.

Sebelum berlakunya akad nikah, Islam tidak membenarkan seorang wanita bercanda dengan lelaki yang bukan mahramnya untuk mengungkapkan perasaan cinta, baik secara langsung mahupun melalui komunikasi di telefon atau talian chatting.

Ini kerana pada hakikatnya ia bukan sebuah cinta, melainkan nafsu syahwat dan tarikan sepintas lalu sahaja. Sedangkan di luar dari ruang pernikahan, Islam tidak pernah membenarkan semua itu.

Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk. (al-Israk: 32).

Prinsip asas dalam adab bercinta dalam Islam ialah berpasakkan keredaan Allah, mematuhi segala suruhan-suruhan-Nya dan tidak boleh mengikuti kehendak makhluk-Nya sehingga mengingkari perintah atau larangan-Nya.

Pertama, seseorang yang benar-benar ingin mengamalkan Islam dalam dirinya perlu membetulkan niat apabila bercinta. Bercinta kerana Allah SWT dengan tujuan menghalalkan perhubungan itu daripada segenap sudut melalui perkahwinan yang sah.

Menjalin hubungan cinta antara lelaki dan perempuan yang bukan Islam tidak dibenarkan (haram) kerana lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada manfaat.

Seseorang muslim atau muslimah itu perlu berhati-hati dalam persoalan hati. Apatah lagi apabila jalinan perasaan tersebut melibatkan seorang yang berlainan agama. Sebabnya, seseorang Muslim hanya dibenarkan berkahwin dengan Muslim sahaja.

Jika salah seorang daripada pasangan bukan Islam tidak memeluk Islam, hukumnya mereka mestilah berpisah dan tidak boleh mengikat tali perkahwinan. Ini kerana seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya.

Larangan ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 221 yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehingga mereka beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan janganlah kamu mengahwini lelaki musyrik sehingga dia beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Sesungguhnya mereka itu menyeru kepada neraka. Manakala Allah menyeru kepada syurga dan keampunan dengan izin-Nya.

Selain ayat al-Quran di atas, terdapat hadis-hadis yang menyatakan bahawa baginda SAW telah memberi peringatan yang sangat keras dalam hadis baginda mengenai azab yang disediakan oleh Allah SWT kepada hambanya kerana menyentuh wanita yang bukan mahramnya (tanpa ikatan perkahwinan yang sah.)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Lebih baik ditembusi dengan jarum dari besi yang panas dari dubur sampai kepalanya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya". (riwayat Imam al-Tabrani dalam Mu'jam al-Kabir)

Wednesday, May 6, 2009

Banyak kesan negatif penyiaran filem seram

Dato' Dr Haron Din
Mon | Apr 27, 09 | 7:14:36 pm MYT

SOALAN: Akhir-akhir ini, siaran televisyen, banyak menyiarkan filem atau drama yang menyeramkan seperti Susuk, Rafik, Puaka Nian, Jangan Pandang Belakang, Pontianak Harum Sundal Malam dan The Seekers. Apakah filem-filem ini membawa kebaikan kepada masyarakat umum, terutama sekali kanak-kanak? Mohon pandangan Dato'. - MOHD NIZAM ZAKARIA Rawang


JAWAPAN: Secara peribadi, saya jarang sangat menonton filem atau drama yang anda nyatakan. Bagaimanapun, apabila mendengar nama-nama filem yang anda sebutkan, maka dapatlah saya bayangkan apa bentuk hidangan oleh penerbit kepada masyarakat, terutama orang Melayu-Islam.

Setiap filem pasti ada mesejnya. Mesej filem-filem tersebut, adalah hendak menarik penonton terperap di hadapan TV, melalui cerita-cerita rekaan hantu dan dongengan menakutkan.

Filem-filem sebegini, ramai yang tidak mahu menontonnya. Tetapi ada yang hendak tengok juga, terutama golongan remaja dan kanak-kanak.

Akhirnya, hasil daripada menonton cerita-cerita sebegini, yang tinggal dalam fikiran mereka adalah ketakutan, kegerunan, kerisauan dan perasaan berkecamuk.

Kanak-kanak terutamanya akan takut ke bilik air seorang diri tanpa ditemani.

Tidur malam takut apabila keseorangan. Keluar rumah pada malam hari akan gerun dan takut.

Meskipun ada baiknya perasaan takut itu wujud, bagi mendidik insan mengetahui kelemahan dirinya.

Kadang-kadang ibu bapa juga menggunakan cara mudah untuk melarang anak-anak dengan menakut-nakutkan mereka, kononnya nanti dicekup hantu atau disembunyikan puaka dan sebagainya.

Tetapi jika difikirkan secara jangka panjang, masyarakat kita akan menjadi insan yang bersifat negatif, diselebungi ketakutan yang tidak menentu, pasif dan sentiasa dalam kebingungan.

Cerita-cerita rekaan mengenai makhluk halus, khususnya hantu dengan pelbagai nama, itulah sebenarnya yang menghantui masyarakat Melayu.

Berbagai-bagai tahyul direka cipta seolah-olahnya seperti suatu realiti. Untuk mengatasinya pula, direka pelbagai cara untuk menghindarinya seperti adat bersemah, berancak, berjamu makan kapada hantu, menjampi mantera yang dilarang syarak seperti minta tolong kepada hantu.

Atur cara pengubatan yang direka-reka ini merupakan perkara-perkara yang boleh melanggar syariat, sehingga membawa kepada syirik terhadap Allah SWT.

Perihal manusia meminta pertolongan kepada makhluk halus akibat ketakutan kepada mereka, bukannya perkara baru.

Dalam al-Quran Allah berfirman (mafhumnya): "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia (daripada kalangan lelaki), menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (Surah al-Jin, ayat 6)

Dalam ayat ini, amat jelas Allah menyatakan, bahawa makhluk halus seperti jin, syaitan dan ifrit sememangnya wujud dan wajib dipercayai adanya mereka.

Alam mereka sama dengan alam kita. Sebahagian mereka tinggal di atas muka bumi.

Jin-jin ini sebenarnya tidak berupaya untuk memberi perlindungan kepada manusia.

Sekadar menggertak atau menakut-nakutkan mungkin boleh.

Cuma manusia yang terlebih takut kepada mereka, sehingga menyebabkan pelbagai musibah, berlaku ke atas mereka.

Pada zaman sebelum TV wujud, pada zaman media massa tidak menyebarkan cerita-cerita makhluk halus, telah pun ada kalangan ibu bapa yang menakutkan anak-anak dengan hantu dan jembalang, kerana hendak memudahkan anak-anak tidur atau menghalang mereka keluar malam.

Cuba anda tanya diri anda sendiri dan buatlah sedikit penyelidikan dengan bertanya kawan. Ajukan soalan kepada mereka, pernahkah mereka terserempak atau melihat jin-jin (makhluk halus) dengan mata kepala mereka?

Cuba tanyakan lagi, pernahkah mereka benar-benar diganggu oleh mahluk halus dan apa bentuk gangguan mereka?

Pada saya, saya yakin anda sukar menemui mereka yang benar-benar melihat jin dan mengalami kerasukan. Ini menunjukkan realitinya jarang berlaku.

Yang wujud hanyalah rekaan dan khalayan semata-mata. Ia adalah ilusi dan gambaran yang sengaja dibuat. Tetapi ia tetap memberi kesan yang buruk kepada masyarakat.

Suatu ketika, apabila suatu klip video yang tersebar di internet mengenai seksa kubur dengan mayat yang meraung kesakitan akibat terseksa hebat, menjadi heboh seketika, sehingga Kementerian Pelajaran melarang klip video itu ditayangkan atas alasan menakutkan kanak-kanak. Lalu ia diberhentikan serta merta.

Anehnya, apabila sesuatu yang berhubung dengan alam kubur, sedangkan seksa kubur itu benar dan wajib diimani, kesannya baik dan positif dari segi hukum syarak, malangnya diberhentikan tayangan atas alasan ia menakutkan.

Apakah tidak baik untuk kanak-kanak atau masyarakat umumnya, takut kepada seksa kubur yang pasti berlaku? Pada saya bagi orang Islam, wajib ditanamkan pada minda mereka bahawa seksa kubur sedang menunggu anda, yang fasik, berakhlak sumbang, berzina, mencuri atau merompak, yang meminum arak, akan menghadapi seksa kubur tersebut.

Dengannya akan terdidik semua kepada mencintai kebaikan dan menjauhi keburukan, bagi mengelak seksa kubur.

Apakah alasan tidak boleh ditayangkan kerana menakutkan hanya kepada hal-hal keagamaan yang mendidik ke arah kebaikan, sedangkan cerita-cerita tahyul tadi direkaciptakan, ia menakutkan, tetapi oleh kerana tiada kaitan dengan agama, ia dibolehkan.

Maka renungilah sedalam-dalamnya. Sekian, wallahua'lam. - lanh _

Tuesday, May 5, 2009

PESANAN KHUSUS UTK WANITA MUSLIMAH

from c.a.w.a.n


6 PESANAN KHUSUS UTK WANITA MUSLIMAH

1. JAGA SOLAT di awal waktu..

2. HIDUPKAN BACAAN HADIS...

3. BACA AL-QURAN setiap hari walau 8 ayat shj..

4.MENDIDIK ANAK secara Islam..

5. HIDUP SEDERHANA dgn tidak membebankan suami.

6.GALAK suami bermujahadah atas agama Allahswt



c.a.w.a.n ; Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

Ummu Salamah yang pintar

HINDUN binti Abi Umaiyah merupakan isteri kepada Abu Salamah. Dia termasuk dalam golongan pertama memeluk Islam.

Hindun bersama Abu Salamah berhijrah ke Ethiopia bersama sekumpulan penganut agama Islam apabila berlaku penentangan terhadap nabi Muhammad di Mekah. Hindun melahirkan seorang anak bernama Salamah di Ethiopia lalu mendapat gelaran "Ummu Salamah" yang membawa maksud ibu Salamah.

Abu Salamah seorang yang aktif berperang dan mengalami luka parah pada tulang sewaktu Perang Uhud, akibatnya Abu Salamah pengsan lalu meninggal dunia di pangkuan Nabi Muhammad.

Selepas lama Ummu Salamah menjanda, beberapa orang datang melamarnya. Namun, semua lamaran itu ditolak dengan jawapan yang lembut dan manis.

Akhirnya Nabi Muhammad menghantar utusan untuk melamar Ummu Salamah untuk menjadi isteri beliau.

"Saya menolak lamaran Rasulullah kerana saya sudah tua, bersifat cemburu dan banyak tanggungan keluarga," begitulah jawapan Ummu Salamah kepada utusan Nabi Muhammad.

"Ya Ummu Salamah, jika kamu sudah tua, maka saya lebih tua dari kamu. Jika kamu bersifat cemburu, maka Allah akan menghilangkan cemburu dalam diri kamu. Jika kamu banyak tanggungan keluarga, maka Allah dan rasulnya akan menanggungnya," balas nabi Muhammad selepas mendengar kata-kata Ummu Salamah itu.

Ummu Salamah menunjukkan kebijaksanaan dan kepintaran ketika kaum Quraish menghalang umat Islam memasuki kota Mekah untuk menunaikan haji.

Kota Mekah ketika itu masih di bawah jagaan kaum Ouraish yang masih belum beragama Islam. Pasukan tentera Quraish menunggu ketibaan nabi Muhammad dan rombongannya di luar kota Mekah dengan azam menyekat mereka dari masuk ke kota Mekah.

Nabi Muhammad tidak mahu bertembung dengan pasukan tentera Quraish kerana rombongannya datang dengan aman untuk menunaikan haji dan bukannya untuk berperang.

"Siapa antara kamu yang boleh menunjukkan jalan lain yang menuju ke belakang tentera Quraish?" tanya nabi Muhammad yang ingin melencong ke jalan lain untuk memasuki kota Mekah tanpa bertemu dengan pasukan tentera Quraisy.

"Saya!" balas salah seorang ahli rombongan itu lalu berlari ke hadapan untuk menunjuk jalan kepada nabi Muhammad.

Walaupun jalan yang diikuti Nabi Muhammad dan rombongannya sempit dan menyulitkan pergerakan mereka, namun azam dan tekad yang tinggi untuk menunaikan haji membara di setiap hati ahli rombongan membuatkan mereka berjaya mengharungi sehingga tiba di sebuah kawasan bernama Hudaibiyah, beberapa meter dari kota Mekah.

Satu peristiwa aneh berlaku apabila unta yang dinaiki oleh nabi Muhammad tidak mahu bergerak seolah-olah ada sesuatu kuasa yang menghalangnya maju ke hadapannya. Unta itu terus duduk walaupun nabi Muhammad cuba mengarahkannya bangun dan berjalan semula.

"Adakah unta ini mengalami sesuatu yang tidak baik sehingga tidak mahu bergerak ke hadapan?" tanya salah seorang ahli rombongan nabi Muhammad.

"Tidak. Allah yang menghalang tentera bergajah Abrahah masuk ke Kota Mekah menghalang unta tunggangan saya maju ke hadapan," balas nabi Muhammad lalu turun dari belakang untanya.

Nabi Muhammad memerintahkan rombongannya berhenti berkhemah di kawasan itu. Pasukan tentera Quraish yang mengetahui perkara itu terus menuju ke kawasan perkhemahan nabi Muhammad dan mendirikan perkhemahan bertentangan dengan khemah umat Islam.

Nabi Muhammad menghantar Usman bin Affan sebagai utusan untuk berbincang dengan pasukan tentera Quraish tentang niat nabi Muhammad dan rombongannya untuk menunaikan haji.

"Sebenarnya kami datang untuk menunaikan haji dan mengapa kamu semua menghalang kami untuk menunaikan haji? Lagipun selama ini orang Arab tidak pernah menghalang sesiapa pun menunaikan haji..." jelas Usman kepada Abu Suffian, ketua pasukan tentera Quraisy.

"Kami bukan nak menghalang tetapi kamu semua tidak akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini. Kamu boleh menunaikan haji lain kali tetapi kena patuhi syarat-syarat yang kami tetapkan," balas Abu Suffian sejurus mendengar penjelasan Usman itu.

Nabi Muhammad dan rombongan mengadakan pertemuan dengan pasukan tentera Quraish untuk berdamai.

Selepas mengadakan perbincangan, mereka bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak.

Apabila Perjanjian Hudaibiyah sudah termeterai, pasukan tentera Quraish menanti Nabi Muhammad dan rombongannya pulang semula ke Madinah.

"Dengar sini semua ahli rombongan, sila sembelih unta dan cukur rambut kamu. Kemudian kita pulang semula ke Madinah!" kata nabi Muhammad kepada ahli rombongannya.

Namun tiada seorang pun ahli rombongan yang menyahut arahan nabi Muhammad itu. Nabi Muhammad terkejut melihat reaksi ahli rombongannya dan tidak mengulang kata-katanya kali kedua kerana takut turun kemurkaan Allah kepada mereka yang enggan mengikut arahannya itu.

Rombongan Nabi Muhammad berasa keliru dengan apa yang telah berlaku dan teragak-agak untuk melakukan perintah baginda itu.

Mereka terfikir bagaimana untuk pulang ke Madinah sedangkan mereka masih belum menunaikan haji.

Inikan pula nabi Muhammad memerintahkan mereka untuk menyembelih korban dan bercukur rambut. Nabi Muhammad berasa sedih lalu masuk ke dalam khemahnya kerana ini merupakan kali pertama umat Islam tidak menjalankan perintahnya.

"Mengapa kamu bersedih, wahai Rasulullah?" tanya Ummu Salamah yang berada dalam khemah.

"Saya memerintahkan semua ahli rombongan menjalankan penyembelihan korban dan bercukur kepala sebagai tanda keluar dari Ihram. Namun tidak ada sesiapa pun yang bangkit untuk menjalankan perintah saya," jelas Nabi Muhammad kepada Ummu Salamah.

"Keluar sekarang dan jangan kata apa-apa pada mereka di luar itu. Sembelih unta sebagai korban dan panggil tukang gunting untuk mencukur rambut," Ummu Salamah memberi cadangan kepada Nabi Muhammad bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Nabi Muhammad melakukan sebagaimana cadangan Ummu Salamah.

Semua ahli rombongan yang melihat apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad segera bangkit dari tempat duduk, lalu menyembelih korban masing-masing.

Selepas itu, ada yang mencukur rambut mereka dan ada yang menggunting rambut mereka. Kepintaran dan kebijaksanaan Ummu Salamah itu menunjukkan bahawa praktis dalam melakukan sesuatu adalah lebih efektif berbanding dengan hanya berkata-kata sahaja.

l Petikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Monday, May 4, 2009

Mauizah: Mohon ampun, tutup keaiban dosa daripada terdedah

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu | Apr 30, 09 | 4:54:51 pm MYT

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?" (Surah Ali Imran ayat 135)

Istighfar bererti minta ampun kepada Allah SWT. Istighfar juga bererti minta ditudung (ditutup) segala kesilapan atau kesalahan.

Minta dilindung supaya ketika dibangunkan dari kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban tidak terdedah kepada umum.

Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang 'ashi, apabila melakukan perkara keji atau menganiaya dan dedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu ingat dan mohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT minta ditudung dosanya.

Sesal kepada Tuhan kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT.

Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram.

Semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat dan berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengangampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa ayat 110)

Pada ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang telah melakukan kejahatan atau menzalimi diri, kemudian ingat kepada Allah SWT dan beristighfar akan mendapati bahawa Allah SWT itu satu Zat yang sangat suka mengampunkan dosa, serta amat Kasihan Belas kepada manusia.

Mukmin yang 'ashi (derhaka) hendaklah berkeyakinan bahawa dosanya akan diampun dan dilindung daripada pandangan orang ramai, dengan syarat mereka menyesali dan taubat bermula daripada hati yang telah insaf.

Sepenuh hati berazam tidak melakukan dosa lagi, lantas lisannya menyebut 'Astaghfirullah' atau 'Lailaha illa anta inni kuntu minaz zolimin' atau Allahummaghfirli wa liwalidaiyya.

Atau katalah apa saja yang menunjukkan mereka tidak akan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan.

Insya-Allah, Tuhan akan terima taubat dan ditudungnya dosa mereka. Diberi keupayaan menentangnya ketika hati teringin melakukannya.

Timbul rasa malu dan gerun, akhirnya akan jadi manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun." (Surah An-Nashr ayat 3)

Segala kerja bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih dan beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan yang memohon ampun pada waktu sahur (sebelum fajar)." (Surah Ali Imran ayat 17)

Sifat orang mukmin ialah mereka berusaha bangun sebelum fajar untuk beristighfar kepada Allah SWT. Boleh beristighfar pada siang hari, tetapi kemungkinan beristighfar sekadar meniru orang lain.

Adapun bangun sebelum fajar adalah lambang keikhlasan kepada Allah SWT, ini kerana kebanyakkan manusia masih lena tidur.

Sesetengah sifat orang mukmin ialah hanya sedikit tidurnya pada waktu malam. Orang yang berkeadaan begini pada siang harinya tak mungkin melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT.

Sebaliknya jika seseorang beristighfar dan berzikir pada waktu malam kerana tarik perhatian jiran sebelah, supaya jirannya tahu dia bangun beramal waktu malam, nescaya tiada kesan yang positif pada siang harinya, kerana dia beramal sekadar tarik perhatian manusia.

Rasulullah s.a.w. amat gemar beristighfar dengan: "Subhanaka Allahumma wa bihamdika Allahumma Ighfirli. Innaka Antat-Tauwwabur Rahim" Yang bermaksud: "Maha suci Engkau (daripada sifat kekurangan), ya Allah Tuhanku, dan aku memuji Engkau wahai Tuhanku ampunilah (segala dosa)ku. Sesungguhnya Engkau Amat penerima taubat lagi Maha Penyayang."

Lafaz istighfar hanya dihujung kalimah berbunyi "Ighfirli", tetapi dimulai dengan kata kata sanjungan dan bunga pujian.

Iaitu tasbih mensucikan Allah SWT dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Bertahmid memuji-Nya dengan segala Kemuliaan yang tidak terhingga.

Sebelum meminta sesuatu dari Tuhan lebih dahulu memuji-Nya dengan kata sanjungan. Inilah kaedah yang amat disukai oleh Allah SWT kerana meletakkan-Nya di tempat paling suci dan mulia, sesuai dengan sifat Keagungan Zat-Nya.

Justeru jika seseorang itu rajin bertasbih menyebut 'Subhanallah' dengan penuh kesedaran, misalnya menyebut 'Subhanallah' yang bermaksud Maha Suci Allah dari kejahilan, bererti Dia-lah Tuhan yang Maha Berilmu.

Sebut berulangkali 'Subhanallah' Maha Suci Allah dari sifat kelemahan yang lain, bererti Dia-lah Tuhan penuh dengan segala sifat Kesempurnaan. Sanjunglah Allah SWT dengan tasbih dan tahmid.